KUALA LUMPUR: Kemunculan perkhidmatan penstriman media, Over The Top (OTT) dalam industri hiburan mengubah cara individu menikmati filem, muzik, drama dan pelbagai kandungan menarik pada era digital ini.
Pandemik COVID-19 mendorong rakyat Malaysia memilih hiburan di hujung jari apabila terpaksa berkurung di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 18 Februari depan.
OTT bukan sahaja memudahkan akses bagi penonton menikmati filem, muzik, drama dan pelbagai kandungan digital, malah harga berpatutan ditawarkan merangkumi penggunaan lebih meluas.
Pengguna telefon bimbit yang mempunyai akses internet boleh menstrim filem dan pelbagai kandungan digital di mana sahaja.
Mengambil peluang ini, Mbits Digital Sdn Bhd memperkenalkan saluran Popcorn menerusi PLAY yang juga platform penyiaran digital tele-virtual OTT pertama dalam industri penyiaran di Malaysia.
Seperti aplikasi digital lain, PLAY boleh dimuat turun menerusi laman web, PLAY, Apple, Huawei dan Google Store.
Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Mbits Digital, Saraleana Nattaya Azmi, berkata perbezaan PLAY dan penyiaran lain di Malaysia adalah kemudahan akses kepada kandungan digital, filem, muzik dan drama yang disediakan.
Setiap pilihan perbelanjaan bagi kandungan tertakluk kepada individu tanpa bebanan bayaran bulanan tinggi.
"PLAY adalah penyiaran digital baharu dan secara teknikalnya, PLAY seperti stesen televisyen (TV), cuma bezanya kami memilih platform penyiaran digital bukan penyiaran secara satelit.
"Kalau mahu membayangkan aplikasi digital yang sedia ada, ia seperti gabungan stesen TV, Netflix dn Spotify disebabkan kepelbagaian kandungan yang disediakan," katanya selepas majlis pelancaran platform PLAY secara virtual, baru-baru ini.
Turut serta pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Strategik Mbits Digital, CL Hor dan Ketua PLAY, Ian Chin.
"PLAY dibina untuk produser kandungan sebab kami mempunyai elemen seperti panggung wayang. Kita sedia tahu karya tempatan perlu bersaing dengan filem antarabangsa untuk satu tempoh tayangan. Disebabkan itu, kebanyakan produser beralih kepada pawagam di rumah.
"Sekiranya produser mempunyai karya, mereka boleh menayangkannya menerusi PLAY.
"Caj seperti panggung wayang dikenakan, tetapi tayangannya diberi tempoh selama setahun. Ini adalah inisiatif PLAY untuk memberi manfaat kepada produser.
"Selain itu, kami memperkenalkan sistem PLAY Tiket iaitu konsep baharu yang membolehkan penonton membayar setiap kandungan seolah-olah membeli tiket di panggung wayang," katanya.
Saraleana berkata, PLAY membina platform Popcorn kerana mahu menyokong pengeluar kandungan tempatan dengan menawarkan tingkap digital ke dunia global. PLAY sudah memiliki 16 rakan strategi platform digital pelbagai pilihan di seluruh dunia.
Menerusi platfom Popcorn, katanya, ia boleh mempamerkan pelbagai budaya, bahasa, warisan, seni dan hiburan di Malaysia tanpa perlu membayar kos yang tinggi untuk memiliki platform atau saluran sendiri.
Saraleana berkata, usaha berkenaan dilakukan bagi mengembangkan kandungan tempatan ke peringkat global. PLAY boleh dijadikan landasan untuk mengangkat karya tempatan ke luar negara.
"Dunia tanpa sempadan melalui platform digital. Mengapa kita sebagai rakyat Malaysia harus ketinggalan zaman dan hanya bergantung pada platform digital antarabangsa?
"Sebagai penyiar tempatan, kita harus berkembang dan menyesuaikan diri dengan trend global ke arah digital. Inilah sebabnya kami memajukan PLAY.
"PLAY akan mempamerkan dan mengembangkan kandungan Malaysia ke seluruh dunia. Ia disesuaikan dengan keperluan digital yang semakin meningkat.
"Amat bermanfaat bagi pengguna dan pengeluar kandungan mempunyai platform alternatif untuk menikmati kandungan dan menjana pendapatan pada peringkat antarabangsa.
"Kami mahu menjadikan PLAY sebagai platform glokal untuk mempamerkan kandungan Malaysia dan Asia ke seluruh dunia. Kisah budaya dan warisan lebih baik diceritakan oleh kita sendiri," katanya.
Saraleana berkata, PLAY mewakili pelbagai budaya, bahasa dan kaum dalam satu platform.
Namun, biarpun PLAY menawarkan pengguna pelbagai kandungan antarabangsa, Saraleana menegaskan, platform itu lebih fokus kepada kandungan tempatan dan Asia, selaras dengan usaha mengangkat karya tempatan.
Justeru, katanya, bagi menggalakkan orang ramai merasai pengalaman berhibur di hujung jari, PLAY memberi pengguna akses percuma selama tiga bulan sejak Jumaat lalu.
"Selepas tiga bulan, pengguna perlu melanggan dengan hanya bayaran RM5 sebulan untuk mengakses semua kandungan termasuk kandungan premium terpilih. Kandungan premium lain tertakluk kepada pilihan pengguna untuk melanggan dan menikmati.
"PLAY bukan sahaja platform penyiaran, malah ia adalah penyiaran OTT tele-virtual digital yang memberikan pengalaman hiburan tanpa henti dengan harga berpatutan.
"Pendaftaran PLAY semudah pengisian borang digital menerusi aplikasi berkenaan dan seterusnya, membuat pilihan tiket dan pelan yang disukai," katanya.
Mensasarkan 100,000 pengguna dalam tempoh enam bulan, Saraleana berharap, PLAY dapat menarik orang ramai menggunakan penyiaran digital tele-virtual dalam satu platform.
Fatin Farhana Ariffin