Kemunculan perkhidmatan penstriman media, Over-The-Top (OTT) dalam industri hiburan baru-baru ini banyak mengubah cara seseorang individu menonton filem, muzik, drama dan pelbagai kandungan digital merentasi dunia tanpa sempadan.
Ia mendorong sesiapa saja yang mempunyai telefon bimbit dengan akses Internet menstrim kandungan digital dari mana-mana saja di seluruh dunia terutama ketika negara dilanda Covid-19.
Susulan itu, Mbits Digital Sdn Bhd mengambil inisiatif menyokong kandungan tempatan dengan menawarkan mereka tingkap digital melalui platform Popcorn untuk mempamerkan pelbagai budaya, bahasa, warisan, seni dan hiburan tanpa perlu membayar kos tinggi untuk memiliki saluran sendiri.
Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Mbits Digital, Saraleana Nattaya Azmi, berkata perbezaan PLAY dengan penyiaran digital lain di Malaysia adalah kemudahan akses kepada kandungan digital tanpa membebankan pengguna dengan bayaran bulanan yang tinggi.
“Dunia kini tanpa sempadan melalui platform digital. Mengapa kita sebagai rakyat Malaysia harus ketinggalan zaman dan hanya bergantung pada platform digital antarabangsa?
“Sebagai penyiar tempatan, kita harus berkembang dan menyesuaikan diri dengan trend global ke arah pendekatan yang lebih digital. Inilah sebabnya kita memajukan PLAY,” katanya dalam satu sidang media diadakan secara maya baru-baru ini.
Turut serta pengasas bersama yang juga Ketua Pegawai Strategik Mbits Digital, CL Hor dan Ketua PLAY, Ian Chin.
Menurut Saraleana, PLAY seperti gabungan stesen televisyen, Netflix dan Spotify yang menggunakan aplikasi digital dan boleh dimuat turun melalui Apple, Huawei, Google Store dan juga laman web Play.
“PLAY tiket adalah konsep terbaru yang membolehkan penonton untuk membayar setiap kandungan seolah-olah membeli tiket di panggung wayang.
“Selain faedah kepada pengguna, PLAY juga memberi keistimewaan kepada pengeluar kandungan untuk menjana pendapatan daripada kandungan mereka termasuk melalui siaran langsung di seluruh platform dengan menawarkan kandungan Free-To-View (percuma untuk ditonton) Pay-Per-View (bayar setiap kali menonton) dan Pay-Per-Collection (bayar untuk koleksi yang ditonton).
“PLAY secara ringkasnya turut berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan dan mengembangkan kandungan Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.
Mengulas jenis kandungan PLAY, Saraleana berkata, pengguna boleh menikmati pelbagai kandungan seperti Video On Demand, muzik, berita, bola sepak atau konsert secara langsung melalui pelbagai jenis peranti.
“PLAY turut menyediakan platform muzik dan podcast yang fokus dengan selera tempatan. Ia turut menampilkan pelbagai saluran berita tempatan dan antarabangsa selain siaran langsung bola sepak, perlumbaan kuda, kandungan bercorak permainan dan banyak lagi.
“Bukan setakat filem dari Hollywood, pengguna PLAY berpeluang menonton drama K-Pop dan Asia menerusi 8,000 jam tontonan,” katanya.
Sementara itu, Ian berkata, PLAY memberi akses percuma selama 3 bulan untuk pengguna platform itu mengeksplorasi kandungan sejak awal bulan ini.
“Selepas 3 bulan, pengguna perlu melanggan dengan hanya bayaran RM5 sebulan untuk mengakses semua kandungan termasuk kandungan premium terpilih.
“Kandungan premium lain tertakluk kepada pilihan pengguna untuk dilanggan dan dinikmati,” katanya yang mensasarkan 100,000 pengguna dalam tempoh enam bulan.
By Nadia Azam